telusnya demokrasi di negara lain
<petikan dari seorang rakan>
<akhbar harakah.daily>
Saya adalah sebahagian daripada jutaan rakyat Malaysia yang cintakan
ketelusan dan reformasi di dalam sistem demokrasi di tanah air. Saya
juga menyertai himpunan 100,000 rakyat pada 10 November lepas, bukan di
Kuala Lumpur, tetapi di sebuah pekan kecil di United Kingdom.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Bukan saya seorang sahaja di UK yang menyatakan solidariti kami bersama
Bersih, tetapi banyak lagi rakan-rakan yang berbuat demikian. Himpunan
aman juga diadakan di Pejabat Kedutaan Malaysia di London.
Saya mula bekerja di sebuah syarikat gas dan minyak di sini sejak 7
tahun yang lalu. Sejak emas hitam ditemui di North Sea, ramai rakyat
Malaysia sama ada berbangsa Melayu, Cina dan India mencari rezeki di
sini. Saya tinggal agak berjauhan dengan masyarakat Malaysia yang lain.
Ada
beberapa orang pekerja dan pelajar daripada Malaysia yang selalu
melawat saya pada hujung minggu. Sebahagian mengetahui kecenderungan
politik saya dengan melihat akhbar Harakah dan Suara Keadilan, serta buku-buku mengenai landskap politik Malaysia di ruang tamu rumah saya.
Sama seperti rakan-rakan setugas dari Malaysia yang lain, majoriti kami
muak dengan kecacatan sistem demokrasi dan politik di negara sendiri.
Saya berpengalaman kerja di dalam industri minyak di Malaysia lebih 10 tahun sebelum datang ke UK.
Hidup bermasyarakat dengan rakyat British sedikit sebanyak mengajar kami erti demokrasi dan keterbukaan yang sebenarnya.
Saya telah terlibat dalam sistem pilihan raya di United Kingdom
sebanyak dua kali. Sebagai rakyat negara Komanwel, kita diberikan hak
untuk membuang undi di negara yang pernah menjajah kita dahulu.
Bukannya niat saya untuk mengagungkan British.
Banyak
perkara di sini yang saya amat tidak bersetuju, terutamanya dasar luar
negara serta beberapa tindakan yang mencetuskan fenomena Islamophobia
di kalangan penduduk tempatan. Tetapi di dalam sistem pilihan raya,
saya berpandangan yang Britain boleh menjadi contoh yang perlu diikuti
oleh Malaysia .
Sistem pilihan raya di sini amat telus. Semua parti tanpa termasuk
parti pembangkang dan calon bebas diberikan ruang yang sama untuk
bertanding. Setiap hari kita boleh melihat hujah-hujah daripada
pemimpin pemerintah dan pembangkang di media cetak dan elektronik.
Akhbar pembangkang tidak pernah disekat.
Semasa
tempoh berkempen, setiap calon diperuntukkan masa untuk menyatakan
manifesto mereka di dalam televisyen saluran perdana. Padang perlawanan
adalah sama rata.
Tidak hairanlah parti yang memerintah di sini
saling bertukar ganti. Dan tidak hairanlah juga Britain menjadi negara
maju dan mempunyai skor integriti yang terlalu tinggi kerana rakyat
dididik dengan erti kebebasan dan demokrasi, yang sebenarnya merupakan
sebahagian daripada ruh Islam.
Ketelusan sistem pembuangan dan pengiraan undi juga tidak boleh
dipertikaikan di sini. Tidak timbul masalah pengundi hantu, kerana
mereka memanfaatkan rekod penduduk yang didaftarkan di dalam jabatan
kerajaan dengan sebaik mungkin.
Petugas
pilihan raya juga adalah profesional, bukannya diambil daripada balaci
daripada parti pemerintah seperti yang diamalkan di tanahair kita.
Suruhanjaya
pilihan raya memainkan peranan bukannya untuk memenangkan parti
pemerintah, tetapi berperanan untuk memastikan siapa hak berhak menang
perlu diberikan kuasa memerintah.
Selain isu pilihan raya, amalan politik di sini juga amat berbeza.
Sebagai contoh, di sini, rakyat yang menyokong parti pembangkang tiada
masalah untuk mendapatkan kerja.
Rakyat
yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah diberikan jaminan peluang
yang sama (equal opportunities) untuk bekerja di dalam pejabat kerajaan
tempatan, negeri atau pusat.
Tiada soalan anda menyokong parti
mana di dalam temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Ini berbeza dengan
temuduga di beberapa jabatan kerajaan di Malaysia, terutamanya untuk
bekerja sebagai pensyarah dan guru.
Soalan spot yang wajib
ditanya ialah anda menyokong parti mana? Sekiranya anda tidak bersetuju
dengan kerajaan, tiada masalah untuk mengkritik kerajaan secara terbuka
di tempat kerja anda. Anda juga diberikan ruang seluas-luasnya untuk
menyuarakan ketidakpuashatian anda terhadap dasar kerajaan.
Para pelajar juga diberikan jaminan peluang yang sama (equal
opportunities) untuk mendapatkan biasiswa tanpa menilai kecenderungan
politik keluarga dan pelajar itu sendiri.
Nilai
intelektual mereka dihargai dengan tidak diikat dengan akta universiti
yang menyekat perkembangan minda kritikal dan analitikal.
Mahasiswa
di sini bebas untuk memperjuangkan ideliasme parti pembangkang di dalam
aktiviti dan program di kampus. Yang disekat, hanyalah mahasiswa
Malaysia sahaja.
Dalam media cetak dan elektronik, setiap hari rakyat British berpeluang
untuk mendengar dan membaca idea kesemua pemimpin pro-kerajaan dan
pembangkang. Ini sekali gus dapat mendidik rakyat yang terbuka dan
cergas pemikirannya.
Sungguh
berbeza dengan media di Malaysia, semuanya dikawal oleh parti
pemerintah. Sudahlah capaian di dalam media awam dinafikan, penerbitan
media pembangkang pula disekat.
Di UK, mereka bijak membezakan antara jentera kerajaan dengan jentera
parti. Tetapi di Malaysia, kerajaan zalim Barisan Nasional
bermaharajalela dengan menggunakan setiap jentera kerajaan untuk
kepentingan politik mereka.
Semasa
Tony Blair bersara daripada menjadi Perdana Menteri, semua media
termasuk ‘media kerajaan’ iaitu BBC bebas untuk mengkritik beliau,
sehinggakan setiap satu aset, rumah dan harta beliau didedahkan kepada
rakyat untuk dinilai oleh mereka. Begitu juga dengan penggantinya,
Gordon Brown. Tiada satu akhbar pun yang mengampu.
Saya juga kecewa dengan sikap tidak cerdik pemimpin Umno yang datang ke
sini. Antaranya ialah campur tangan di dalam aktiviti mahasiswa. Datang
sebagai pemimpin negara, tetapi apabila bersuara, membawa agenda parti
Umno.
Pengecut
dengan perkembangan mahasiswa di luar negara, lalu dikenakanlah
pelbagai undang-undang dan sekatan. SB diletak di sana dan di sini.
Dikhayalkan
dengan menyokong dan membantu program hiburan yang tidak membina.
Apabila individu-individu yang ikhlas membuat program agama seperti
sekolah Malaysia di beberapa kawasan di sini, maka dirompak program
tersebut kononnya program itu adalah program Kelab Umno Luar Negara.
Sedangkan satu sen dan setitik peluh pun mereka tidak sumbangkan.
Apa yang pemimpin Kelab Umno Luar Negara tahu ialah membuat program hiburan, hiburan dan hiburan. Tidak cerdik sungguh.
Justeru, saya bersama-sama dengan ratusan ribu rakyat Malaysia yang
menyertai himpunan Bersih menyeru agar pembaharuan sistem pilihanraya
dan amalan demokrasi di tanahair dilakukan segera.
Ramai
yang bekerja di luar negara tidak mahu pulang ke tanahair kerana
kebobrokan yang jelas dilakukan oleh parti pemerintah sekarang.
Ketika
Najib mengulas mengenai perhimpunan Bersih yang memungkinkan berlakunya
kacau bilau seperti rompakan di kedai-kedai berhampiran tempat
perhimpunan, sedarkan anda yang sudah berapa billion RM duit rakyat
telah dirampas oleh mereka untuk memenuhkan perut kroni seterusnya
membiarkan rakyat papa kedana ?
Masa untuk perubahan telah tiba. Sedarlah wahai rakyat Malaysia .